Tiada lagi DEB - Antara langkah awal kerajaan DAP, PKR Pulau Pinang
Hari ini petikan berita utusan malaysia memaparkan bahawa kerajaan baru Pulau Pinang yang diketuai oleh Barisan Rakyat mengambil langkah untuk memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau sebenarnya lebih sinonim dengan Dasar Ekonomi Melayau (DEM). Hari ini media hanya memaparkan suatu pandangan dari segi negatif, yang mana ada pihak menyalahkan orang melayu mengundi DAP yang mana kesannya DAB dihapuskan. Sungguh lantang suara itu melontarkan pandangan tersendiri yang sebenarnya mereka menidakkan suara rakyat yang telah membuat keputusan pada Pilihanraya Umum 12 (PRU12).
DEB adalah dasar yang dimulakan pada tahun 1971 untuk membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula ekonomi Malaysia dengan matlamat menghapuskan pengenalan etnik berasaskan fungsi ekonomi.
Dasar itu, yang pada prinsipnya telah pun berakhir pada 1991, mengandungi polisi affirmative untuk kaum Melayu dan bumiputera bertunjangkan semangat kontrak sosial dan usaha untuk membaiki kedudukan ekonomi bumiputera yang ketinggalan.
Hari ini Negara Malaysia telah pun mencapai kemerdekaan selama 50 tahun. DEB telah pun dilaksanakan sepanjang 20tahun iaitu dari tahun 1971 sehingga 1991. Sebagai rakyat Malaysia berbangsa Melayu, saya juga terlintas di sanubari ini bahawa dengan pemansuhan ini pastinya tidak akan lagi memberi kelebihan kepada kaum Melayu. Jika hari ini setelah 20tahun bangsa melayu masih lagi ketinggalan dari aspek ekonomi, adakah ia kerana KEGAGALAN DEB atau kerana bangsa melayu itu sendiri? Ramai yang mengatakan bahawa ia suatu yang sensif untuk dibincangkan, sebagaiman kita membincangkan bagaimanaklah Malaysia dikatakan sebuah Negara Islam Hadhari ataupun Hadharatul Islamiah.
Pernah suatu ketika dulu timbul suatu istilah "budaya tongkat" yang mana bangsa melayu sentiasa berharap dengan bantuan kerajaan. Saya juga merasa bersyukur kerana adanya hak keistimewaan orang melayu inilah saya dapat melanjutkan pengajian diperingkat yang lebih tinggi. Tetapi jika hanya ada keistimewaan ini sahaja tanpa saya berusaha sebaik mungkin dalam bidang akademik saya, adakah ada jaminan saya akan berjaya? Adakah matlamat kita hari ini untuk melahirkan lebih banyak kuantiti graduan, usahawan, jurutera serta doktor tetapi dalam masa yang sama kita abaikan kualiti rakyat ini? sebab itulah terlalu banyak keruntuhan akhlak berlaku, pergaulan bebas, rasuah untuk mendapatkan suatu tender bagi suatu perniagaan,amalan riba dikalangan kakitangan kerajaan dan banyak lagi kemaksiatan dihadapan mata kita.
Kelemahan bangsa kita adalah kerana kita susah nak membuat suatu perubahan, tetapi Alhamdulillah & syukur pada yang Maha Kuasa atas cahaya yang telah dikurniakan kepada rakyat Malaysia pada hari ini untukmembuat perubahan kepada Barisan Rakyat yang dilihat lebih meyakinkan. Pemansuhan DEB di Pulau Pinang seharusnya menjadi suatu kayu ukur perbandingan untuk 5 atau 4 tahun akan datang bagi membezakan Negeri yang tidak memansuhkan DEB berbanding di Pulau Pinang. Jika impak pemansuhan DEB itu membuatkan ekonomi bangsa melayu semakin jatuh,maka pada pilihanraya akan datang kita selaku rakyat berhak untuk menukar pucuk pimpinan sekali lagi. Jangan kita terlalu cepat menilai bila suatu perubahan ingin dibuat. Jika semalam Kerajaan Barisan Rakyat memansuhkan segala saman dan kompaun sebelum ini, saya tidak lihat pemimpin pemimpin dari Barisan Nasional atau rakyat memberi respon yang tidak baik terhadap isu tersebut. Mungkin ia membawa banyak kebaikan kepada individu tertentu, maka lebih baik mendiamkan diri.
Hari ini media Barisan Nasional kecoh kononnya Orang Melayu seharusnya bertanggung jawab kerana telah mengundi Barisan Rakyat yang akhirnya telah menghapuskan DEB. Saya lihat ini merupakan suatu isu yang sengaja dibangkitkan, boleh jadi kerana ketidakpuasan terhadap kekalahan pada PRU12 yang lepas.
Wahai bangsa Malaysia, pilihan berada ditangan kita. Kita berhak untuk tentukan siapa yang akan memerintah negeri mahupun negara kita. Jangan mudah terpengaruh dengan media yang tidak neutral (dikawal oleh kerajaan) yang terkadang sengaja mencetuskan elemen perkauman. Kita bukan bodoh untuk ditipu mahupun diperbodohkan, pemerintah seharus ingat bahawa rakyat hari ini semakin intelek, punya pendidikan tinggi, malah lebih tinggi dari segelintir menteri yang memerintah. Jagalah peribadimu wahai pemipin, kerana kamu dinilai oleh rakyat Malaysia dan yang lagi penting bagi Pemimpin ISLAM (BN&BR) anda dinilai sepanjang masa oleh ALLAH S.W.T selaku pemerintah sekalian alam.